GOPENG: Selepas lima hari, operasi pencarian peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang dilaporkan hilang ketika menyertai larian itu pada Sabtu lalu, masih belum ada petunjuk baharu.

Bagaimanapun, operasi tetap diteruskan walaupun petunjuk yang diperolehi, belum menampakkan hasil positif.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, operasi hari kelima difokuskan kepada semua laluan pelari bemula check point 10 hingga garisan penamat.

“Pencarian turut melibatkan pegawai bomba dan padukan bomba sukarela. Selain itu, kita masih mnggunakn khidmat Unit K9 bomba (anjing pengesan) sebanyak lima ekor,” katanya di sini pada Khamis.

Mohammad Ashraf dipercayai hilang ketika mengambil bahagian di dalam Gopeng Ultra Trail sejauh 25 kilometer yang bermula dan berakhir di Gua Tempurung.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman pada Rabu memberitahu, pihaknya dijangka mendapat maklumat daripada salah seorang peserta larian itu.

“Seorang peserta akan datang untuk memberikan maklumat-maklumat mengenai pengesanan terakhir di mana dia nampak mangsa tersebut.

“Jadi insya Allah kalau dia datang sini dia akan memberikan maklumat-maklumat yang seterusnya kita akan menyusun strategi untuk mencari mangsa berkenaan,” ujarnya.

Selain usaha fizikal, difahamkan pelbagai usaha spritual seperti solat hajat dilakukan oleh beberapa pihak, termasuk keluarga mangsa dan penduduk  setempat untuk membantu mengesan mangsa.