GEORGETOWN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) belum menerima sebarang rayuan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhubung keputusan pembubaran sementara parti berkenaan berkuat kuasa Khamis lalu oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau tidak lagi menerima sebarang permohonan rayuan daripada PPBM.

“Saya membaca mengenainya (bahawa PPBM akan membuat rayuan) tapi saya belum menerima apa-apa lagi,” katanya kepada pemberita apabila diminta mengulas mengenai isu itu di sini, hari ini.

Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan pembubaran sementara oleh ROS itu kepada Ahmad Zahid.

Beliau dipetik berkata, sekiranya Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, enggan membantu maka PPBM akan memfailkan rayuan di mahkamah.

ROS mengeluarkan perintah pembubaran sementara berdasarkan notis mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966, terhadap PPBM, berkuat kuasa Khamis lalu.

Perintah itu dikeluarkan selepas ROS mendapati PPBM gagal menyerahkan sepenuhnya segala butir maklumat dan dokumen yang diminta sebagaimana notis dikeluarkan mengikut Seksyen 14(2) akta sama pada 28 Februari lalu – berita harian