IPOH: Bencana hujan ribut yang melanda sekitar kawasan Gugusan Manjoi, dekat sini petang semalam, telah menyebabkan 131 buah rumah mengalami kerosakan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, berdasarkan bancian awal, kerugian keseluruhan dianggarkan kira-kira RM234,000.

“Ini baru anggaran awal dan 23 mangsa daripada 23 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara di surau Kampung Tengku Hussein,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Layang-Layang Flying Academy di sini pada Isnin petang.

Ahmad Faizal memberitahu, sebanyak lima buah kampung di Gugusan Manjoi terjejas dengan bencana yang berlaku petang semalam.

Menurutnya, kampung-kampung tersebut ialah
Kampung Manjoi (27 rumah), Kampung Sungai Tapah Seberang (25 rumah), Kampung Dato Ahmad Said 2 (16 rumah), Kampung Sungai Tapah Tambahan (28 rumah) dan Kampung Tengku Hussein (35 rumah).