IPOH: Hujan lebat yang disertai angin kencang yang melanda Ipoh di daerah Kinta pada Ahad petang turut melanda beberapa buah kampung di daerah Kerian dan Hilir Perak.

Dalam kejadian di daerah Hilir Perak kira-kira pukul 6.05 petang, lapan buah rumah di dua buah kampung, Parit 15A Sungai Lampam dan Kampung Sungai Lampam Kanan mengalami kerosakan bumbung.

Sementara itu, ribut yang berlaku di kawasan PPMS Batu 6, Bukit Merah di daerah Kerian pula melibatkan kerosakan teruk kira-kira 10 buah rumah.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, 36 mangsa daripada empat keluarga telah ditempatkan ke pusat pemindahan sementara.

Sebelum itu, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang, lebih 20 buah rumah di sekitar Gugusan Manjoi dan Meru mengalami kerosakan.

Terdapat juga kenderaan yang rosak kerana dihempap pokok yang tumbang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijangka hadir taklimat penyelarasan bantuan mangsa ribut Gugusan Manjoi di dewan KRT Kg Tengku Hussein sekitar jam 9 malam ini.