IPOH – Sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang diraikan Jumaat minggu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Haji Mohd Taib berlangsung unik dengan kibaran bendera gergasi negeri.

Guru sekolah berkenaan, Ahmad Zaimy Mohd Yatim berkata, sambutan keputeraan kali ini agak istimewa berikutan kejayaan Perak menjuarai final Piala Malaysia 2018, 27 Oktober lalu.

Menurut Ahmad Zaimy yang juga krew bagi kelab penyokong siber yob4ever.com, kibaran bendera gergasi berkenaan sekali gus menggambarkan sambutan berganda yang dilaksanakan oleh sekolah berkenaan kali ini.

“Sambutan tahun ini agak istimewa kerana warga sekolah menyambut dua dalam satu. Satu Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang kami sayangi.

“Sambutan kedua pula adalah berhubung kejayaan pasukan bola sepak Perak menjuarai Piala Malaysia,” katanya.

Menurut Ahmad Zaimy bendera tersebut merupakan bendera yang berkibar di Stadium Shah Alam pada malam final tempoh hari dan dibawa khas oleh e-fans www.yob4ever.com.

Untuk rekod, Perak muncul juara Piala Malaysia 2018 setelah menewaskan Terengganu 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat 3-3 setelah tamat masa permainan 90 minit termasuk masa tambahan.

Sementara itu Ahmad Zaimy berkata, pemasangan bendera berkenaan adalah hasil saranan pengetua sekolah berkenaan, Mohd Rizal Mohd Yusof.

Katanya, kibaran bendera bersaiz gergasi itu diyakini akan memeriahkan lagi kedua-dua sambutan keraian berkenaan.

“Inilah kali pertama kami menaikkan bendera sebesar ini di sekolah.

“Ternyata, ia menjadikan warga sekolah amat teruja menyaksikan kibaran bendera tersebut,” katanya – sinar