KOTA BHARU: Kerajaan Pusat perlu membendung budaya memperlekeh dan menghina institusi raja, malah pihak yang melakukan perbuatan itu perlu dibawa ke mahkamah.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pendekatan itu perlu dilakukan supaya perbuatan itu tidak menjadi satu budaya yang akhirnya sesiapa saja boleh mengkritik atau menulis perkara tidak sepatutnya sesuka hati.

Katanya, PAS memandang serius isu penghinaan itu kerana ia menyentuh soal institusi raja yang dijamin dalam Perlembagaan negara iaitu Raja Berperlembagaan.

“Ini bermakna institusi itu perlu dihormati, tidak boleh disentuh dan tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak. Saya mendokong apa yang dititahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang melahirkan kebimbangan baginda terhadap orang Melayu sendiri yang cuba mengkritik institusi raja.

“Kita kena lihat institusi ini asas kepada penyatuan dan pembentukan negara berdasarkan apa yang ada. Bagi PAS, kita minta kerajaan membendung perkara ini, jangan jadi satu budaya yang akhirnya sesiapa saja boleh mengkritik atau menulis apa saja.

“Mereka perlu dibawa ke mahkamah kerana perbuatan seperti itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya selepas meraikan golongan asnaf membeli kelengkapan Aidilfitri di Pasaraya Bilion, di sini, hari ini.

Semalam, Sultah Sharafuddin Idris Shah, dukacita melihat ada pihak kini secara terbuka menghina dan memperlekeh institusi raja dengan menghasut serta mempengaruhi rakyat membenci raja Melayu.

Baginda bertitah, lebih mendukacitakan apabila hasutan itu dilakukan segelintir pihak dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri untuk membenci raja.

Ketika ditanya sama ada budaya menghina institusi raja itu mula masuk dalam Malaysia baharu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, beliau melihat asas kepada Malaysia baharu adalah kebebasan media.

Katanya, kebebasan media memang perlu ada, namun bukan bebas secara mutlak, sebaliknya mesti dikawal kerana ia boleh merosakkan negara.

“Ada institusi yang kita boleh tegur secara terbuka, ada yang perlu melalui saluran tertentu. Jadi, semua pihak perlu menghormati saluran yang ada, bukan soal kita tak boleh tegur pemimpin atau raja, tetapi ada prosedurnya.

“Jika semua orang kritik secara terbuka, saya fikir ini akan mencetuskan satu polemik dalam masyarakat dan kita perlu elak polemik berkenaan,” katanya – berita harian