PEKAN: Bayi berusia 11 bulan bengkak mulut selepas digigit semut charlie ketika tidur di rumahnya di Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, di sini, minggu lalu.

Gigitan semut itu yang nama saintifiknya Staphylinidae turut menyebabkan mulut bayi berkenaan, Muhammad Iffat Iskandar Mohd Babudin bernanah dan keadaan terbabit mengakibatkan dia sukar minum susu selama beberapa hari.

Ibunya yang juga anggota Unit Semboyan dan Komunikasi IPD Pekan, Koperal Nurul Nazirah Zainol berkata, anaknya itu dipercayai digigit semua charlie kira-kira jam 12 tengah malam, Ahad lalu, ketika tidur di rumah mereka di tingkat empat kompleks perumahan itu.

“Kami menyedarinya digigit semut charlie kira-kira jam 3 pagi selepas dia mula merasa gatal-gatal menyebabkannya tidak selesa, kami membawanya ke Hospital Pekan dan menerima rawatan biasa.

“Pada mulanya keadaannya agak membimbangkan, mulutnya bengkak dan bernanah menyebabkannya susah hendak minum susu, namun sekarang keadaan bertambah baik. Bahagian bengkak sudah mulai kering,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Turut menerima nasib sama ialah jirannya di tingkat enam iaitu kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sembilan bulan, Adriella Angel Stenley yang turut digigit semut charlie di matanya pada malam sama, namun keadaannya juga bertambah baik.

Gambar Muhammad Iffat dan Adriella Angel tular di media sosial yang meminta ibu bapa berhati-hati dengan gigitan semut charlie kerana ia boleh memberi kesan seperti bengkak, sakit dan gatal terutama kepada kanak-kanak.

Semut charlie lazimnya boleh ditemui di kawasan sawah padi, padang dan hutan, ia mempunyai toksin berbisa dipanggil pederin yang boleh menyebabkan kulit menjadi merah kehitaman, pedih, sakit dan gatal.

Mengulas lanjut, Nurul Nazirah berkata, ia bukan kali pertama penghuni di kompleks perumahan berkenaan digigit semua berkenaan namun keadaannya tidak seteruk menimpa Muhammad Iffat dan Adriella Angel.

“Kalau gigit orang dewasa kesannya tidak teruk sangat, memang di sini ada semut charlie kerana dahulunya perumahan ini adalah kawasan hutan, malah masih ada hutan di belakang kompleks ini.

“Saya difahamkan Jabatan Kesihatan Daerah Pekan akan melakukan semburan kabus bagi membunuh semut charlie pada malam ini, semburan bukan sahaja dalam rumah tetapi kawasan sekeliling,” katanya – berita harian