IPOH: Menyedari kerapuhan di bahagian pertahanan, pasukan bolasepak PKNP FC mengambil seorang pemain pertahanan dari Brazil untuk memperkukuhkan benteng mereka.

Pedro Victor Calil Sandoval, 25, bekas pemain Esporte Clube Nordeste dari Sao Paulo, akan menggantikan Siyovush Astorov yang tamat kontrak baru-baru ini.

Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pemain yang mempunyai ketinggian 188 sentimeter itu akan beraksi dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Perak di Stadium Perak malam Sabtu.

“Kita harap dia mampu membantu mengekang penyerang baru Perak malam esok.

“Amaran kepada pasukan Perak, tidak ada istilah pakatan atau adik abang dalam bola sepak, kami akan memberi tentangan habis-habisan,” katanya pada sidang media memperkenalkan pemain terbaharu itu di sini, pada Jumaat.

Pada suku akhir pertama 30 April lalu di Stadium Manjung, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Ketua Jurulatihan PKNP FC, Abu Bakar Fazim pula berkata, pasukannya akan lebih berhati-hati kerana Perak pasti akan mencari gol awal, lebih-lebih lagi dengan kehadiran dua import baru dari Brazil.

“Perak juga mempunyai kelebihan kerana kedua-dua pertahanan kiri dan kanan mereka mampu untuk menyerang, tetapi kami sudah faham permainan mereka,” ujarnya.

Keputusan seri dengan apa juga jaringan akan melayakkan PKNP FC ke pusingan separuh akhir.