KUALA KANGSAR– Seorang lelaki ditahan setelah bertindak biadap mengugut untuk menghantar ‘santau’ kepada seorang anggota polis trafik yang menyamannya dalam sekatan jalan raya di Jalan Idris di sini semalam.

Dalam kejadian kemarin , lelaki yang merupakan seorang buruh berusia 36 tahun bertindak demikian setelah saman atas kesalahan tidak memakai tali pinggang dikeluarkan terhadapnya.

Difahamkan, lelaki itu mengeluarkan kata-kata seperti ‘tak tahu kah anak aku berak, sapu tahi kat kamu baru tau, kamu tak ada akal kah dan kamu tunggu aku santau kamu bukan mahal pun nak santau RM5 je dah boleh santau’.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, ketika ugutan tersebut dilakukan, ia turut didengari oleh anggota trafik lain yang berada berhampiran tempat kejadian.

Katanya, lelaki itu kemudiannya ditahan dan dibawa balik ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar untuk siasatan lanjut kerana mengeluarkan perkataan mengugut dan biadap ke atas anggota polis yang sedang menjalankan tugas.

“Siasatan mendapati lelaki itu tidak berpuas hati atas tindakan saman ke atasnya hingga menyebabkan dia mengeluarkan kata-kata tersebut terhadap anggota trafik berkenaan.

“Siasatan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ketakutan secara jenayah,” katanya.-UTUSAN ONLINE