GERIK – Golongan belia disaran agar berani meneroka peluang pekerjaan di luar daerah, negeri dan ruang selesa mereka dan berazam untuk mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor Salbiah Mohamed tidak menafikan peluang pekerjaan di daerah pedalaman seperti Gerik agak terhad.
“Jika mahu kerja, mereka terpaksa keluar. Sebagai anak muda mereka perlu berani terokai (peluang di luar) jangan hanya menunggu peluang ada di sini.
“Mereka perlu berani keluar kerana mereka masih muda,” ujar beliau ketika ditemui Suara erak selepas majlis perasmian Karnival Gempak Peluang Kerjaya dan Pendidikan Kerjaya Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Setaraf kali Ke-7 untuk Parlimen Gerik pada 28 Mac lalu.
Memberi contoh di daerah Gerik, Salbiah yang juga Speaker Dewan Belia Negeri Perak berkata sektor perladangan seperti FELDA dan kebun-kebun besar sudah diuruskan dan diusahakan oleh buruh asing.
“Kalau kita nak bercakap soal kerja, sebenarnya banyak peluang kerja tetapi kita tahu rata-rata anak muda akan hanya memilih pekerjaan yang mereka rasa sesuai dengan kelayakan atau kemahuan mereka.
“Pada fikiran anak muda sekarang, mereka membayangkan kerja itu ialah dengan memakai pakaian yang kemas lengkap dengan ‘coat’ dan bekerja di dalam pejabat berhawa dingin,” tambah beliau.
Golongan belia ini memilih dan tidak mahu untuk melibatkan diri dalam pkerjaan yang kotor dan teruk, katanya.
Menasihati golongan yang mendapat keputusan peperiksaan yang minima, beliau yang juga tidak menafikan soal gaji minima yang ditawarkan adalah setimpal dengan keputusan atau kelayakan yang dimiliki jadi mereka perlu mengambil peluang yang ada.
“Sebagai contoh, para anak muda ini tidak mahu bekerja di sektor perkilangan sebagai operator yang akhirnya menyebabkan kerja sebegini diisi oleh buruh asing.
“Kerajaan negeri mengharapkan anak muda yang sedang mencari pekerjaan, jika mahu gaji lebih, anda perlu ada nilai tambah dalam diri di mana anda perlu ada kemahiran tertentu untuk ditawarkan kepad majikan.
Dengan cara ini mereka dapat meningkatkan nilai mereka dan menjadi lebih menyerlah daripada calon lain.
Anak muda juga perlu lebih berusaha agar mendapat pendedahan dan pengalaman yang lebih berbanding pekerja sedia ada,” katanya.