Oleh: Nazialita Geynna Maharan

SEBERANG PERAK: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak akan melindungi mana-mana pihak yang didapati terlibat mengeluarkan beras plastik seperti yang didakwa oleh netizen baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, isu itu tidak dipandang ringan tetapi akan disiasat sehingga ke akar umbi kerana ia melibatkan isu keselamatan makanan.

Menurut beliau, kementerian sentiasa bersikap telus terhadap keputusan ujikaji sampel beras Cap Rambutan Super Special Tempatan yang dikatakan mempunyai bendasing plastik.

“Kita akan bersikap terus-terang. Hasil siasatan dan ujian kimia sekiranya diumumkan, akan dimaklumkan kepada orang ramai.

“Kita tidak perlu rasa takut kerana beras itu bukannya buatan MOA tetapi dikeluarkan oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) iaitu pihak swasta, sekiranya hasil kajian mengatakan beras plastik maka tindakan akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Cahaya Ramadhan FELCRA Seberang Perak Tahun 2017 di Masjid Al Ansar di sini, pada malam Selasa.

Tajuddin berkata, pihaknya tidak akan melindungi atau mempertahankan syarikat yang disyaki mengeluarkan beras plastik sekiranya didapati bersalah.

Dua hari lepas, kementerian itu mengesahkan tiada bendasing ditemui dalam beras Cap Rambutan SST.

Ian berdasarkan keputusan awal ujian yang dilakukan termasuk ujian iodin, ujian bakar dan masak beras di dua negeri iaitu Kedah dan Perak.

Pemeriksaan ke atas syarikat pengedaran dan pembungkusan beras import dan tempatan, OEL Distribution Sdn Bhd dibuat susulan video tular yang mendakwa beras tersebut mengandungi plastik dalam beras.