Oleh: Nazialita Geynna Maharan

SIMPANG PULAI: Sebut sahaja mengenai Ramadan, pasti ramai yang terbayangkan kafe, restoran atau hotel yang menyajikan hidangan buffet pelbagai yang membangkitkan selera.

Setiap tempat menjamu selera mempunyai tarikan dan keunikan yang membuatkan pengunjung datang berbuka puasa berkali-kali dan tidak kurangnya dengan kafe Pusat Rekreasi Lubuk Timah (PRELUT).

Pengarah Urusannya, Fadzil Akma Mohd Yusoff berkata, kafe yang pertama kali dibuka kepada orang ramai pada awal Mei lepas menjanjikan kelainan dengan hidangan “fusion” ala kampung di Buffet Ramadan mereka.

Jelasnya, PRELUT dikenali sebagai pusat rekreasi yang dikelilingi hutan dan buffet Ramadan di situ pastinya lebih menarik dengan desiran air sungai mengalir jernih dan ketenangan alam semulajadi.

berbuka-rimba-prelut 2

“Nak merasa berbuka puasa di tengah rimba, ditemani bunyi-bunyi unggas, cengkerik, dan keindahan alam semulajadi, datanglah ke Ramadan Buffet di Kafe PRELUT.

“Malah, harga yang dikenakan juga berpatutan, selain dilengkapi surau terbuka bagi muslimin dan muslimat selain ruang parkir yang luas,” katanya kepada Suara Perak.

Fadzil turut mengalu-alukan badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi tempatan untuk menaja buffet Ramadan bagi golongan anak yatim dan mereka yang memerlukan.

Fadzil berkata, lokasi buffet Ramadan itu juga sesuai dijadikan pilihan bagi agensi kerajaan atau sekolah memandangkan ia boleh menampung lebih daripada 200 orang pada satu-satu masa.

Sementara itu, rahsia sebenar keenakan juadah pelbagai adalah ianya dimasak dengan menggunakan bahan segar serta merupakan air tangan bahagian pengurusan PRELUT sendiri.

Chef Buffet Ramadan PRELUT, Zolkepli Uda berkata, beliau dan isteri menyediakan masakan yang dijamin asli citarasa kampung.

“Dari segi ramuan dan rempah-ratus, kami pilih yang terbaik untuk menjamin mutu masakan. Ada enam menu berbeza bagi setiap hari agar pengunjung tidak berasa bosan,” katanya.

Antara menu Buffet Ramadan PRELUT ialah Ayam Masak Rose, Pajeri Nanas, Ikan Kayu Berlada, Ayam Kari Kapitan, Tauhu Jepun Tiram, Kerabu Suhun, aneka jenis belacan dan buah-buahan serta minuman.

Zolkepli berkata, harga bagi orang dewasa ialah RM25 dan kanak-kanak RM15 seorang, bermula 2 hingga 23 Jun ini dari jam 6 petang hingga 12 malam setiap hari.