MUMBAI: Lebih 30 penumpang sebuah pesawat berdarah hidung dan telinga hari ini selepas kru terlupa menghidupkan suis kawalan tekanan udara di kokpit.

Berikutan itu, pesawat Jet Airways ke Jaipur terpaksa berpatah balik selepas keadaan ini didapati membabitkan ramai penumpang hingga ada yang panik, kata syarikat penerbangan itu.

Pesawat itu membawa 166 penumpang mendarat semula di Mumbai dan mereka yang terbabit diberi rawatan dan penerbangan alternatif diatur untuk mereka, kata Jet Airways.

Sehubungan itu, kru penerbangan terbabit telah direhatkan sementara menunggu hasil siasatan,” menurut kenyataan syarikat itu.

Ada penumpang yang menyiarkan foto dan video keadaan itu di talian dengan seorang daripadanya, Darshak Hathi, memuat naik klip di Twitter menunjukkan penumpang memakai topeng oksigen.

“Keadaan panik kerana kesilapan teknikal dalam @jetairways 9W 0697 dari Mumbai ke Jaipur. Kembali ke Mumbai selepas 45 minit. Semua penumpang selamat termasuk saya,” kata tweet beliau.

Kementerian Penerbangan Sivil India dalam satu tweet memberitahu ia sudah meminta laporan segera perkara itu daripada agensi rasmi.

Kejadian itu adalah insiden memalukan terbaru membabitkan Jet Airways.

Januari lalu, dua juruterbang pesawat digantung tugas kerana bertumbuk dan keluar dari kokpit seketika ketika dalam penerbangan dari London ke Mumbai. – AFP