LELAKI yang mempunyai rekod penyakit mental ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat 13 rumahnya di apartment Vista Mutiara, Kepong, dalam kejadian kira-kira 8 pagi tadi.

Difahamkan, sebelum ditemui maut, lelaki berusia 25 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan itu dipercayai sedang berhalusinasi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, sebelum ditemui maut di bawah apartment berkenaan, mangsa ditegur oleh ibunya kerana duduk diatas tebing koridor dalam keadaan menghadap keluar.

Katanya, perbuatan lelaki itu yang duduk diatas koridor disedari ibunya yang berada di dapur sebelum bergegas menarik tangannya dan menegur agar tidak mengulangi perbuatan sedemikian.

“Selang beberapa minit, sebaik menyambung pekerjaan di dapur, ibu lelaki itu memaklumkan mendengar bunyi dentuman kuat dan berasa tidak sedap hati dan terfikir mengenai anaknya.

“Wanita itu kemudian menjengah ke bahagian ruang tamu sebelum mendapati pintu hadapan rumah dalam keadaan terbuka dan anaknya tidak ditemui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Munusamy berkata, wanita itu kemudian terdengar bunyi bising orang ramai di bawah apartment yang mengerumuni seorang lelaki dalam keadaan tertiarap.

Katanya, sebaik diperiksa, wanita itu menyedari lelaki yang ditemui tertiarap dengan kesan kecederaan di seluruh badan itu adalah anaknya.

“Lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya – hmetro