Oleh:Nazialita Geynna Maharan

PENGKALAN HULU: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tindakan beberapa individu menggunakan nama Pondok Pak Teh untuk mengutip derma, kononnya untuk membantu pondok tersebut.

Wakil pengurusan pondok tersebut, Muhammad Kushairi Abdul Latif berkata, pihaknya mengesan beberapa nombor akaun berbeza digunakan untuk mengutip derma bagi pondok itu.

Menurutnya, orang awam yang berniat membantu pondok itu dinasihatkan terus berjumpa dengan wakil Pondok Pak Teh atau menyalurkan sumbangan ke akaun rasmi pusat pengajian itu.

“Akaun rasmi kami adalah J/K Pondok Al-Latifiah yang menggunakan akaun Maybank, 1580 7928 4482, slain dari akaun ini, itu bukan akaun kami.

“Kami ada mengesan beberapa mesej mengutip derma untuk membantu pondok ini yang terbakar semalam (Ahad) namun nombor akaun disertakan bukan milik kami.

“Jadi, kalau mahu membantu pondok ini, datang terus ke pondok kami dan boleh juga menyumbang ke akaun rasmi kami,” katanya.

Mengenai rancangan pengurusan pondok selepas ini, Muhammad Kushairi memberitahu, mereka akan menyusun semula penghuni di situ dengan menempatkan pelajar di rumah rakan lain.

“Mujur tiada kecederaan atau kematian berlaku kepada penghuni di sini, terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan nasib pondok ini.

“Insya Allah, selepas ini kami akan beroperasi seperti biasa…kejadian ini memang mengejutkan namun pengajian Islam di sini akan diteruskan,” ujarnya.