IPOH: Pihak pembangkang dicabar mengemukakan bukti pembayaran seperti resit atau baucer bayaran apabila terus mendakwa anugerah The BrandLaureate Nation Building Brand ICON Leadership Award-Game Changer Icon yang diberikan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Ogos lalu, dibayar oleh MB Inc.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, beliau yakin mereka tidak akan dapat mengemukakan bukti itu kerana ia tidak benar sama sekali.

“Jika ada sekalipun, saya yakin ia adalah palsu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan beberapa wakil rakyat pembangkang yang berbahas pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) terus membuat tuduhan kononnya Dr Zambry membuat bayaran kepada The BrandLaureate Sdn Bhd (BrandLaureate) untuk mendapatkan anugerah tersebut walaupun organisasi itu telah membuat penjelasan.

Sebelum ini, Presiden BrandLaureate, Dr KK Johan, menjelaskan pemberian anugerah itu adalah semata-mata berasaskan kepada pencapaian yang ditunjukkan Dr Zambry sebagai pemimpin negeri dan sumbangannya terhadap pertumbuhan serta pembangunan Perak dan Malaysia.

Menurutnya, anugerah yang diberikan oleh organisasi itu tidak boleh dibeli dan penerima diberi anugerah berdasarkan merit dan pencapaian yang ditunjukkan.

Ramai personaliti dari serata dunia yang sudah diberi anugerah berprestij itu berdasarkan sumbangan hebat mereka dalam bidang masing-masing, antaranya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz; pakar perubatan, Toh Puan Aishah Ong; tokoh pendidikan, Tan Sri Yahaya Ibrahim; tokoh muzik, Datuk Wah Idris dan Datuk Ahmad Nawab serta tokoh sukan, Datuk Marina Chin.

Beberapa tokoh antarabangsa seperti lagenda tinju, Muhammad Ali; pengasas Facebook, Mark Zuckerberg; pejuang anti-apertheid, Nelson Mandela; bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton dan ramai lagi turut diberikan anugerah itu.

Dalam pada itu, Zahir melahirkan rasa hairan mengapa pihak pembangkang terus membangkitkan isu akaun MB Inc tidak dibentangkan di dalam sidang DUN walaupun ia telah dijelaskan panjang lebar ketika sidang DUN pada April lalu.

Walaupun akaun itu tidak dibentangkan di dalam Dewan tetapi sebagai sebuah entiti perniagaan, MB Inc juga mempunyai akaun yang telah diaudit dan orang ramai boleh mendapatkannya daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) MB Inc juga patuh kepada undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Zahir yakin, tujuan pembangkang terus menimbulkan isu itu semata-mata kerana kepentingan politik dan terdesak untuk menggambarkan kononnya kerajaan tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.