BIDOR: Umno Perak mencadangkan supaya kemenangan percuma diberi kepada calon Umno / Barisan Nasional dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, bulan hadapan.

Cadangan itu dibuat kerana negara masih menghadapi pandemik COVID-19 di samping dapat menjimatkan wang rakyat.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Umno Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun menyambut baik pengumuman Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk tidak bertanding di PRK DUN Slim.

“Pada saya kalau PKR tidak bertanding dan mana-mana parti pun tidak akan bertanding atau lebih baik dan memberi kemenangan percuma kepada calon daripada Umno dan juga Barisan Nasional.

“Itu adalah lebih baik, dengan keadaan pandemik dan sebagainya kan dan apa tah lagi yang Allahyarham YB Khusairi telah meninggal dunia.

“Jadi adalah lebih baik parti-parti yang lain beri laluan mudah kepada calon Umno dan juga Barisan Nasional dalam N58 di Slim ni,” katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan lawatan kerja di Daerah Batang Padang, Perak, pada Isnin.

Pada Ahad, Timbalan Pengerusi PKR Perak, Datuk MA Tinagaran berkata, PKR Perak mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calon bertanding pada PRK DUN Slim pada 29 Ogos ini.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira perkembangan semasa negara yang sedang berdepan pandemik COVID-19 dan beberapa situasi yang membebankan rakyat.

Mohd Zolkaly, walaupun demikian UMno tetap membuat persiapan seperti biasa dan memulakan gerak kerja mulai Ahad.