TAPAH – Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Tapah, Syed Afzarizal Syed Salim akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis atas siasatan dakwaan beliau mengugut dan memberi amaran kepada Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Muniandy, Isnin lalu.

Beliau telah memberi keterangan berhubung kejadian itu, semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah selepas satu laporan polis dibuat Muniandy di Balai Polis Travers, pada Selasa.

Menurutnya, dalam keterangan tiga jam bermula 3 petang itu, polis memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dilakukan.

“Saya serah kepada polis untuk siasatan seterusnya, apa yang boleh saya katakan, laporan polis dibuat Setiausaha Politik itu sama sekali tidak tepat.

“Tidak ada ugutan, apatah lagi amaran, pertemuan saya dan beliau sepanjang lebih lima minit itu hanyalah berkisar mengenai nota bantahan kepada P Waytha Moorthy yang mencadangkan kerajaan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syed Afzarizal berkata, video yang dikemukakan dalam laporan pegawai menteri itu juga bukanlah video asal, sebaliknya disunting memperlihatkan sisi seolah-olah beliau menghalang tugas penjawat awam.

“Saya tidak menghalang kereta dia, saya hanya tunggu depan pagar untuk serahkan bantahan, itu kebiasaan kita lakukan sepertimana kita nak serah borang kepada cikgu atau individu lain,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video asal berdurasi lima minit dan 16 saat menunjukkan Syed Afzarizal dan beberapa individu berdiri di hadapan pagar meminta Muniandy turun dari kereta untuk serahan nota bantahan.

Syed Afzarizal juga dilihat meminta Muniandy menyampaikan amaran kepada Waytha Moorthy dengan berkata : “Cukup sejarah hitam 13 Mei 1969. Jangan ada berlaku lagi perkara yang bukan-bukan.”

Kejadian itu dilapor berlaku di pintu hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Kelana, Tapah ketika Muniandy menghadiri sebuah program di situ – sinar