IPOH: Kos pengubahsuaian kenderaan yang mahal dan kesulitan bagi mendapatkan lesen kenderaan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) menjadi penyebab mengapa golongan itu gagal menikmati kemudahan seperti insan normal.

Permasalahan itu diutarakan oleh perwakilan Dewan Belia Perak, Muhammad Danial Azli, seorang OKU yang turut terkesan dengan karenah birokrasi pihak agensi berkaitan.

Menurut beliau, ramai yang terlepas pandang mengenai perkara ini dan berdasarkan pengalamannya sendiri terlalu rumit dan mengambil masa yang lama untuk berurusan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan hospital.

“Kami (OKU) sememangnya perlu menjalani pemeriksaan doktor dan JPJ bagi pengubahsuaian kenderaan yang sesuai untuk tahap kecacatan, namun malangnya amat payah untuk mereka meluluskan permohonan kami bagi mendapatkan lesen.

“Meskipun saya sendiri sudah rakam video untuk menunjukkan bukti bahawa saya mampu memandu kenderaan, oleh sebab itu ramai di antara kami yang tiada lesen memandu hingga sekarang,” katanya semasa sesi perbahasan di Persidangan Dewan Belia Perak pada Ahad.

Dalam pada itu, Muhammad Danial mengharapkan kerajaan lebih prihatin dengan mewujudkan kenderaan khas bagi golongan OKU di setiap sekolah memandu bagi memudahkan mereka berpeluang mendapatkan lesen.

“Setiap daripada OKU yang mahu belajar kereta atau mohon lesen perlu ada kenderaan sendiri yang sudah pun diubahsuai khas mengikut tahap kecacatan. Ia amat menyedihkan kerana bukan semua OKU mampu mendapatkan kenderaan sebegitu kerana snagat mahal.

“Walaupun tidak dinafikan ia berkait rapat dengan aspek keselamatan tetapi ada di antaranya mampu membawa apa jenis kenderaan sekalipun. Saya mengharapkan pihak yang terbabit khususnya JPJ dan pihak hospital bersikap lebih adil,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi Ahli Dewan Belia, Zulfikal Nor Azizi turut sependapat dalam isu berkenaan.

“Dari segi kecacatan fizikal sebenarnya ramai OKU yang boleh boleh bawak kereta automatik tetapi amat payah untuk dapatkan kelulusan, bila kita jumpa JPJ mereka suruh rujuk pada doktor dan sebaliknya. Kedua pihak saling tarik tali, jadi mohon masalah ini diberi perhatian,” katanya.