IPOH- Kerajaan baru Perak wajar diberi peluang mengurus tadbir negeri ke arah pembangunan dan ekonomi yang lebih baik.

Presiden Dewan Perniagaan Cina Perak (PCCCI), Datuk Liew Sew Yee berkata ini penting untuk kerajaan negeri menyusun gerak kerja dan program pembangunan demi kepentingan rakyat.

Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan pimpinan negeri yang diterajui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk tidak melayan karenah pembangkang dan memberi fokus kepada pentadbiran negeri.

“Kami memahami bahawa pemimpin dan pegawai kerajaan ini masih baru dan rakyat tidak harus terlalu awal menghakimi kerajaan.

“Sebaliknya memberi masa dan ruang untuk menunaikan janjinya, rakyat perlu beri masa sepenggal, maksimum lima tahun kepada kerajaan untuk menilai usaha, kalau gagal kita sebagai rakyat boleh lakukan perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media bersama-sama PCCCI, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Perak (DPPM) dan Dewan Perniagaan India Perak (PICC) di Ipoh pada Isnin.

Yang turut sama, Presiden DPPM Perak, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah dan Timbalan Presiden PICC, John Nesan.

Dalam pada itu ujarnya, penggunaan soal agama dan bangsa untuk meraih sokongan telah menimbulkan ketidakpastian dan kebimbangan di kalangan rakyat, khususnya golongan peniaga.

“Kerajaan baharu telah memperkenalkan beberapa projek seperti membatalkan kadar bayaran lesen perniagaan di bawah UUK Tred 2017 dan perubahan Komponen Pemajuan Perumahan

“Kita harus kurangkan “main politik” dan elak isu perkauman dan agama, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk tingkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.