TELUK INTAN – Pemberian tanah kepada pesara tentera dan polis oleh kerajaan sebagai tanda penghargaan kepada pasukan keselamatan yang bertungkus lumus menjaga keamanan negara.

Walaupun pemberian berkenaan tidak setimpal dengan pengorbanan dilakukan mereka, sekurang-kurangnya ia mampu menggembirakan mereka apabila sudah bersara.

Namun kelewatan berlaku dalam pemberian tanah di bawah Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) kepada pesara tentera dan polis sering didengari, malah ada yang tidak sempat merasanya kerana dijemput Ilahi terlebih dahulu.

Justeru, ada pihak meminta kerajaan mengkaji semula prosedur pemberian tanah kepada pesara tentera dan polis yang diberikan selepas mereka berpencen.

“Ini kerana kita sering mendengar kelewatan dalam pemberian tanah RPT kepada mereka kerana proses pengambilan tanah memakan masa dan ada terpaksa menunggu bertahun-tahun selepas bersara,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hak Milik RPT Perwira, Batu 14, Mukim Changkat Jong, di Dewan Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak, baru-baru ini.

Tambahnya, setiap kementerian terlibat sepatutnya sudah mula menyusun dan merancang bagi mewujudkan satu kawasan penempatan RPT untuk pesara tentera dan polis di negeri atau daerah.

“Sekurang-kurangnya setiap parlimen terdapat tanah yang diwartakan supaya dianugerahkan kepada anggota tentera dan polis yang masih berkhidmat atau bakal berpencen dalam beberapa tahun lagi.

“Pemberian awal ini dilihat mampu membantu mereka merancang lebih awal untuk membina rumah di tanah tersebut dan apabila berpencen hanya perlu masuk sahaja ke rumah yang dibina,” katanya.

Menurut Mohd Azhar, pemberian tanah RPT sebelum bersara dapat membantu pesara membuat pinjaman bagi membina rumah dan bukan selepas mereka bersara.

“Ini kerana wang pencen yang diperoleh mereka akan gunakan untuk perbelanjaan bulanan dan jika mereka membuat pinjaman untuk membina rumah selepas berpencen ia akan menjadi bebanan,” katanya.

Ia sebagai langkah untuk memastikan golongan ini dapat merancang sebaiknya kegunaan tanah yang diberikan sebelum bersara.

Adun Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, sudah sampai masanya persatuan veteran mahupun pesara tentera dan polis duduk semeja bersama kerajaan membincangkan perkara ini.

“Kita menghargai usaha kerajaan dalam memberi tanah sebagai penghargaan kepada pesara tentera dan polis namun pemberian selepas bersara perlu dilihat dan dikaji semula.

-Sinar Harian