IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir membayangkan berita baik untuk bakal pesara penjawat awam di negeri Perak.

Dr Zambry berkata, beliau akan mengumumkan berita baik itu dalam pembentangan Bajet 2018 pada Sidang Dewan Negeri (DUN), Selasa depan.

Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa menghargai penjawat awam kerana merekalah yang telah membentuk pasukan yang mantap untuk bersama-sama memajukan negeri ini.

“Kita juga memberi pengiktirafan kepada pesara dan akan terus mengenang jasa mereka kerana pesara juga adalah sebahagian pasukan yang telah membawa Perak seperti yang dinikmati hari ini,” katanya ketika berucap di Majlis Jasamu Dikenang 2017 di Hotel Casuarina @ Meru di sini, hari ini.

Hadir sama Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Rohana Abd Malek, anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Saarani Mohamad dan Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Abu Bakar Said dan Pengerusi Persatuan Pesara Perak, Datuk Mohamad Hamzah.

Dr Zambry berkata, di dalam pentadbirannya, beliau tidak pernah menganggap penjawat awam bekerja di bawah beliau, sebaliknya bekerja sebagai satu pasukan.

beritabaik-pesara 5

Sehubungan itu, beliau tidak pernah menilai mereka berdasarkan kelemahan dan kekurangan, tetapi melihat kepada kekuatan dan kelebihan mereka.

Dalam majlis itu, selain meraikan 298 pesara yang bersara dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, Menteri Besar turut meraikan ketua-ketua jabatan yang bertukar ke luar negeri Perak.

Daripada jumlah itu, 148 pesara dari jabatan negeri, 93 dari pihak berkuasa tempatan dan 57 dari badan berkanun.

Seramai 215 pesara bumiputera menerima insentif RM3,000 dalam bentuk sijil Amanah Saham Bumiputera manakala 36 pesara bukan bumiputera menerima insentif dalam bentuk Sijil Simpanan Premium.