PORT DICKSON – Isteri kepada Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menafikan dakwaan yang bekas pemimpin UMNO berusia 70 tahun itu meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital pagi tadi.

Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, suaminya sihat dan dakwaan itu timbul berkemungkinan disebabkan salah faham.

“Tak betul cerita yang disebarkan menerusi WhatsApp yang Tan Sri meninggal. Keadaan Tan Sri sihat sahaja.

“Saya rasa timbul salah faham bila orang dengar ada kematian melibatkan keluarga kami. Sebenarnya yang meninggal itu bapa saudara saya,” katanya ketika dihubungi lapor Sinar Harian.

Menurutnya, berita tidak benar berkaitan suaminya itu bukan kali pertama berlaku dan beliau sudah biasa dengannya.

Sementara itu, anak lelaki beliau, Mohd Najib Mohd Isa berkata, penyebaran khabar angin melalui aplikasi WhatsApp mengenai bapanya itu diketahuinya pagi semalam.

“Ramai kawan bertanyakan keadaan Tan Sri. Berita itu tak betul, semoga makin panjang umur dan makin sihatlah ayah saya,” katanya.