PADANG RENGAS: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming hari ini membidas sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris yang melaporkan dirinya tidak akan dipilih sebagai anggota Kabinet.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu menyifatkan laporan berita itu sebagai palsu.

“Saya boleh mengesahkan yang berita itu palsu terutamanya dia (penulis) menggunakan petikan ‘setia’ dan ‘lobi’.

“Saya tidak pernah melobi parti dan setiap keputusan, saya akan berbincang dengan parti dan jawatankuasa tertinggi untuk membuat keputusan.

“Berita itu turut memetik kenyataan dari kem saya tetapi saya sudah periksa dan bercakap dengan mereka dan tidak ada seorang pun yang bercakap dengan beliau (penulis),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kor Ming mengulas laporan Malay Mail bahawa beliau tidak akan dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri walaupun DAP adalah antara parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang menang banyak kerusi Parlimen serta kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbanyak di Perak dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Memetik satu sumber dari kem Kor Ming, akhbar itu melaporkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak Kor Ming kerana komen bersifat perkauman yang pernah dilontarkannya sebelum ini.

Laporan itu turut menyebut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memaklumkan berita itu kepada Kor Ming sebelum mempengerusikan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu, semalam.

Laporan sama turut memetik satu lagi sumber parti itu yang turut mengesahkan nama Kor Ming tiada dalam senarai 15 menteri tambahan yang dikemukakan Dr Mahathir kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, walaupun ada usaha melobi pada saat akhir.

Ketika kempen PRU-14 lalu, Guan Eng memaklumkan kepada pengundi di Teluk Intan bahawa Kor Ming akan dilantik sebagai menteri sekiranya menang kerusi itu dan PH membentuk Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, beliau menyerahkan semua keputusan di tangan Perdana Menteri dan dirinya akan akur dan hormat dengan sebarang keputusan.

“Saya rasa Perdana Menteri akan buat satu pengumuman rasmi minggu hadapan (senarai Kabinet tambahan). Saya rasa lebih baik kita tunggu pengumuman itu dan hormat dengan sebarang keputusan.

“Dengan adanya laporan spekulasi seperti ini, ia memang tidak bagus buat kerajaan dan juga Pejabat Perdana Menteri. Biarlah Tun (Dr Mahathir) buat pengumuman itu dan selepas itu, bolehlah datang menemuramah saya. Itu lebih adil,” katanya.

Pada PRU-14 lalu, DAP menang di semua 18 kerusi DUN ditandingi di Perak, berbanding Parti Amanah Negara (6), PKR (4) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) (1).

Bagi kerusi Parlimen, DAP menang di 42 kerusi termasuk yang diwakili Kor Ming di Teluk Intan, sekali gus meletakkan parti itu parti kedua menang paling banyak kerusi dalam PH selepas PKR yang menang di 50 kerusi Parlimen  – berita harian