MELAKA: Seorang lelaki tergamam sebaik diberitahu bau busuk yang dihidunya sejak lebih seminggu lalu adalah dari mayat jirannya yang juga seorang warga asing dalam kejadian di Taman Kenanga, Tengkera, di sini, semalam.

Mayat lelaki dipercayai warga Bangladesh tanpa identiti itu ditemui penjaga rumah berkenaan dalam keadaan sudah berulat, selepas dimaklumkan jiran berhampiran mengenai bau busuk.

Mayat yang berselimut ditemui dalam sebuah bilik itu turut dikatakan mempunyai kesan kelar di bahagian leher.

Penduduk, Kenny Tan, 32, berkata sejak lebih seminggu lalu dia terhidu bau busuk, tetapi menganggap ia mungkin bangkai tikus.

Katanya, oleh kerana sering tiada di rumah kerana urusan kerja luar, beliau menyangka ia adalah bau bangkai haiwan berkenaan kerana sebelum ini pernah terjadi.

“Tetapi, semakin hari baunya semakin busuk sehingga jiran terpaksa memaklumkan kepada penjaga rumah itu kerana mendapati ia (bau) datang dari dalam.

“Memang terkejut sebaik diberitahu bau busuk itu datangnya daripada mayat manusia dan kedudukan rumah kami hanya bersebelahan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, rumah terbabit sudah lama kosong kerana tiada penyewa, sebelum warga asing itu masuk pada pertengahan Mac lalu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris, berkata laporan polis dibuat oleh penjaga rumah berusia 60-an di Balai Polis Tengkera, petang semalam.

Katanya, berdasarkan keadaan mayat yang sudah reput dan berulat, mangsa dipercayai meninggal dunia lebih daripada 10 hari.

“Siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang pengenalan diri milik mangsa, bagaimanapun polis mendapati terdapat unsur jenayah.

“Ia susulan penemuan sebilah pisau pemotong sayur dipercayai senjata yang digunakan di dalam rumah itu,”katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan – berita harian