TAIPING: Polis menahan dua lelaki, dipercayai anggota Geng Prabu dan merampas dadah jenis heroin dan methamphetamine seberat 1,415 gram dalam dua tangkapan berasingan di Aulong, Taiping, Jumaat lalu.

Kedua-dua lelaki berusia 20-an dan 30-an itu diberkas oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping yang melancarkan Ops Jihad Dadah sejak 8 April lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, tangkapan pertama dibuat di tepi Jalan Sultan, Aulong pada 12.20 tengah malam, manakala suspek kedua diberkas di sebuah restoran satu setengah jam kemudian.

“Pada 19 April, kira-kira jam 4.30 pagi, sepasukan pegawai dan anggota JSJ IPD Taiping dengan dipandu arah oleh tangkapan kedua telah pergi ke sebuah rumah beralamat di No. 199, Lorong 2, Taman Kami A, Aulong dan merampas beberapa barang kes yang telah ditunjukkan oleh tangkapan kedua yang diletak di dalam pasu bunga di luar bahagian, di luar rumah tersebut,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, pada Rabu.

Selain dadah bernilai kira-kira RM74,240, polis turut merampas wang tunai RM2,370 dan dua telefon bimbit.

Osman berkata, kumpulan tersebut dikatakan aktif dalam pengedaran dadah di sekitar Taiping sejak awal tahun lalu.

“Kumpulan ini melakukan proses pengedaran dadah sekiranya mendapat panggilan telefon daripada pelanggan dan akan menentukan tempat atau kawasan untuk proses pengedaran dilakukan.

Beliau memberitahu, tangkapan pertama mempunyai enam rekod jenayah harta benda dan satu rekod jenayah narkotik manakala tangkapan kedua mempunyai satu rekod jenayah narkotik.

Katanya, kedua-dua suspek akan disambung reman hari ini dan kes disiasaat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.