KUALA KANGSAR: Program Mini Olimpik Bendang @Sayong di Kampung Bukit Lada, Sayong di sini, kelmarin menarik 1,000 hadirin dari 13 kampung yang memberi nilai tambah kepada usaha mempergiatkan industri pelancongan berasaskan warisan.

Aktiviti sukan rakyat seperti menangkap ikan keli, meniti titian, tarik tali, bola sepak lima sebelah dan tinju kangaroo yang berlangsung dalam sawah tanaman padi memeriahkan program berkenaan.

Seramai 100 peserta mewakili kampung masing-masing dalam program anjuran Kelab Sukan Sayong (KSS) yang bertemakan cabaran sukan rakyat.

Ketua penyelaras program Mohd Azri Hisham Mohd Yusof, 38, berkata, program julung kali itu bertujuan mengeratkan hubungan antara penduduk 13 kampung selain mendekatkan generasi muda dengan sukan rakyat.

“Generasi muda jarang dapat merasai kemeriahan dan keunikan sukan rakyat tambahan pula diadakan dalam bendang dipenuhi lumpur,” katanya.

Menurutnya, program itu membolehkan peserta dan penonton menghayati suasana kehidupan bermasyarakat di desa, selain memberi nilai tambah mempromosikan mukim Sayong yang sedia dikenali sebagai lokasi perusahaan labu sayong.

Perasmian program itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan Maslin Sham Razman yang turut sama masuk bendang menyertai dua acara dipertandingkan.