IPOH: Beraksi di dalam stadium kosong adalah satu sejarah dalam bola sepak Perak dan merupakan tamparan hebat kepada pasukan The Bos Gaurus.

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, sepanjang pengetahuannya, belum pernah Perak bermain di dalam stadium kosong, tanpa penyokong.

Dalam masa sama, bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu turut menyelar keputusan badan induk persatuan bola sepan negara itu yang disifatkannya sebagai tidak konsisten.

“FAM perlu melihat semula keputusan seumpama itu, kalau setakat ini menjatuhkan hukuman dan mengenakan denda, saya rasa ia tidak memberi kesan positif,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan FAM yang menghukum pasukan The Bos Gaurus bermain di dalam Stadium Perak tanpa penonton ketika menentang Melaka United, Sabtu ini.

Raja Ahmad berpendapat, apa yang sepatutnya dilakukan sekarang ialah mendidik penonton supaya lebih berdisiplin, bukannya menghukum hanya disebabkan oleh segelintir kecil penonton yang membuat onar.

Menurutnya, tindakan menghukum pasukan bermain di dalam stadium kosong merugikan banyak pihak, bukan sahaja Perak, malah FAM sendiri kerana tiada jualan tiket.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan pihak berkenaan supaya tetap berhati-hati dengan kemungkinan kehadiran penyokong fanatik Perak yang mungkin boleh mencetuskan perkara yang tidak diingini.

“Ini juga perlu diberi perhatian serius, jangan ambil mudah kemungkinan yang berlaku,” ujar beliau.