PARIT BUNTAR – Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun memerlukan dana RM30,000 bagi membiayai kos rawatan alternatif mengubati penderitaan penyakit otak mengecut dan saraf dihidapinya sejak empat bulan lalu.

Bermula daripada serangan sawan mengejut, kanak-kanak malang itu, Haziq Irfan Zaidi didiagnosis menderita penyakit sindrom Anti-NMDA (N-methyl D-aspartate) Receptor Encephalithis dan Acute Encephalopathy with Biphasic Seizures and Late Reduced Diffusion (AESD) setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi(ICU) Hospital Taiping pada pada bulan Julai lalu.

Ibu mangsa, Zalila Mohamed Zambri,42, berkata, anak bongsunya daripada tiga beradik itu dimaklumkan mengalami serangan sawan mengejut dan tidak sedarkan diri oleh salah seorang pengasuh sewaktu ditempatkan di sebuah taska penjagaan kanak-kanak di sini pada 27 Julai lalu.

Berikutan keadaan Haziq Irfan semakin lemah, dia dan suami segera menghantar anaknya itu ke Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan kecemasan di Unit ICU hospital itu.

“Pada 29 Julai, Haziq Irfan mula tersedar dan masih mampu berhubung, mendengar dan bercakap dengan ahli keluarga meskipun keadaan tubuh badan lemah.

“Namun pada malam itu, Haziq Irfan mengalami serangan sawan kedua dan apabila pemeriksaan Magnetic Resonance Imaging (MRI) dijalankan ke atasnya, doktor bertugas mengenal pasti ada kesan bengkak pada otak anak saya,”katanya sewaktu ditemui di rumahnya di Taman Mutiara.

Zalila berkata, Haziq Irfan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang pada 31 Julai bertujuan mendapatkan pemeriksaan susulan bagi mengenal pasti jenis penyakit dihadapinya.

Menurutnya, setelah beberapa siri pemeriksaan dan ujian dibuat, doktor pakar bertugas memaklumkan anak bongsunya itu menghidap sejenis penyakit saraf dan otak mengecut berpunca sistem antibodi lemah dan keliru.

“Kesan langsung akibat penyakit unik itu menyebabkan Haziq Irfan kini tidak lagi mampu berdiri, bercakap, bertindak balas terhadap sebarang rangsangan, kurang tidur selain mengalami perubahan sikap menjadi ‘hyper’ dan agresif.

“Lebih menyedihkan, kondisi Haziq Irfan kini tidak ubah seperti bayi Orang Kurang Upaya(OKU), sedangkan hakikat sebenar dia merupakan seorang kanak-kanak yang sihat, ceria dan aktif sebelum ini,”katanya dengan nada sugul.

Zalila berkata, doktor bertugas memaklumkan kes penyakit Anti NMDA Receptor Encephalithis dan AESD dihidapi Haziq Irfan merupakan pertama dikesan di negara Malaysia dan sukar diubati.

Bagaimanapun, inisiatif Zalila dan suami, Zaidi Said,48, membawa Haziq Irfan menjalani pemeriksaan di sebuah hospital swasta terkemuka di Kuala Lumpur memberi sekelumit sinar harapan buat keluarga itu.

“Setelah pemeriksaan dijalankan, doktor pakar berkenaan memaklumkan penyakit dihidapi Haziq Irfan berpotensi diubati, namun kos rawatan alternatif itu dianggarkan mencecah RM30,000.

“Saya dan suami bingung memikirkan perkara itu memandangkan kami tidak mempunyai simpanan dana sebanyak itu, selain komitmen hutang dan kos perbelanjaan rawatan susulan Haziq Irfan yang dianggarkan mencecah RM1,700 sebulan,”katanya.

Zalila yang merupakan penjawat awam berkata, dia kini terpaksa mengambil cuti tanpa gaji sejak bulan September lalu bagi menguruskan kehidupan seharian Haziq Irfan.

Menurutnya, pihaknya berharap dana sumbangan diperolehi dapat mengurangkan beban kewangan dihadapi dirinya dan suami kelak sehingga tempoh rawatan alternatif disempurnakan.

“Meskipun saya dan suami berstatus penjawat awam, kami kini buntu mencari jalan untuk mendapatkan tambahan dana diperlukan berikutan turut menanggung pelbagai komitmen hutang lain.

“Haziq Irfan kini bukan sahaja bergantung kepada susu formula khas sebagai sumber makanan, malah setiap minggu dia perlu menjalani terapi fisio, terapi saraf dan perubatan khas memakan belanja RM1,700 sebulan,”katanya.

Zalila berkata, bukan niat pihaknya meraih simpati daripada orang ramai untuk mengambil kesempatan, sebaliknya segala inisiatif dibuat semata-mata memastikan Haziq Irfan dapat hidup normal seperti kanak-kanak lain.

“Saya amat berharap rayuan kami sekeluarga untuk memohon sumbangan masyarakat prihatin di negara ini tidak disalahertikan,”katanya.

Berikutan itu, individu dan syarikat korporat yang ingin menyalurkan sumbangan dana atau bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun bank MBB 1122 0412 0464 atas nama ZALILA MOHAMED ZAMBRI atau menghubungi talian 019-4727174 untuk maklumat lanjut