IPOH: Syarikat Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) tidak boleh mewenang-wenangnya memotong gred padi yang terlalu tinggi kerana ia boleh menjejaskan sumber pendapatan petani.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) pula perlu melihat isu itu dengan lebih serius.

Menurut beliau, kerajaan negeri Perak memandang serius perkara itu apabila isu berkenaan dibangkitkan di dalam mesyuarat mingguan Exco pada Rabu.

“Sesuatu mesti dilakukan demi kehidupan petani dan keluarga mereka yang bergantung kepada sumber hasil padi sebagai pendapatan,” katanya kepada Suara Perak.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan kira-kira 500 petani dan keluarga mereka yang membuat demonstrasi di hadapan Kilang Beras BERNAS Simpang Ranggam, Kampung Gajah pagi Rabu, kerana membantah tindakan pemotongan gred padi sehingga 55 peratus.

Zainol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik berkata, petani menyedari memang lazimnya akan berlaku pemotongan gred antara 20 – 35 peratus apabila mereka menjual padi kepada BERNAS.
“Tapi ini sampai 55 peratus…lebih daripada separuh jumlah berat..kesannya, pendapatan petani akan merosot dan tak mampu menampung kos penanaman yang telah mereka keluarkan…tentulah mereka marah.

“Sebagai ADUN Sungai Manik yang sebahagian besar penduduk terlibat dengan penanaman padi juga mendapat keluhan dan rungutan sama seperti yang berlaku pagi tadi, saya memahami apa yang mereka luahkan,” ujar beliau.

 

Sementara itu, Timbalan Menteri MOA, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, BERNAS telah diarah melakukan semakan semula padi-padi yang dijual petani di Seberang Perak serta mempertimbang untuk menurunkan pemotongan.

Sebelum ini, beliau pernah mengingatkan pengilang dan pembeli padi berlesen supaya tidak boleh mewenang-wenangnya memotong gred padi kerana ia boleh menyebabkan pesawah mengalami kerugian.

Sebaliknya, mereka perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh kementerian.