IPOH: Berpantang maut sebelum ajal – itulah perumpamaan yang boleh diibaratkan terhadap seorang mangsa kemalangan di Kilometer 266.2 Lebuhraya PLUS arah selatan, selepas Terowong Menora, berhampiran Ipoh, Perak, hari ini.

Walaupun lori yang dipandunya terjatuh gaung yang dalamnya kira-kira 10 meter dan dia tersepit lebih empat jam, pemandu lori berumur 37 tahun itu akhirnya berjaya diselamatkan.

Dia bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan dan difahamkan patah kaki.

Menurut Ketua Operasi Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru, Ipoh, Mohd Zamri Awang Long, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu kira-kira jam 1 tengahari.

Apabila tiba ditempat kejadian, pihak bomba mendapat seorang lelaki Melayu tersepit di bawah sebuah lori tujuh tan.

“Kami menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana mangsa tersepit di stering lori di mana ruang untuk membuat kerja-kerja adalah sempit.

“Peralatan-peralatan yang terpaksa digunakan ialah heavy duty cutter, hydrolic cutter dan spreader cutter untuk mengeluarkan mangsa dan mangsa telah dapat dikeluarkan pada jam 5.05 petang dan dia hanya mendapat kecederaan ringan saja,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, untuk menerima rawatan