Oleh:Nazialita Geynna Maharan

AYER TAWAR: Melihat keadaan remuk yang teruk di bahagian hadapan kenderaan pacuan empat roda akibat kemalangan dengan sebuah treler pasti membuat orang ramai terfikir mangsa berada dalam kenderaan itu sudan menemui ajal.

Namun, pepatah berpantang maut sebelum ajal tidak boleh dinafikan apabila ketiga-tiga lelaki yang tersepit berikutan kemalangan dengan sebuah lori treler dengan muatan 10 tan terselamat dalam insiden itu.

Malah, tindakan pantas orang awam juga telah membantu kesemua ketiga lelaki dalam insiden yang berlaku berhampiran Petronas Changkat Chermin, dekat sini sekiar pukul 12 tengahari tadi (Isnin).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar, Penguasa Bomba Abdul Aziz Abd Mubin berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 12.45 tengahari dan segera ke lokasi kejadian.

“Setibanya kami di lokasi, kami mendapati kemalangan itu membabitkan dua buah kenderaan dan menyebabkan seorang pemandu, kenderaan jenis Toyota Hilux itu tersepit manakala mangsa yang lain telah dikeluarkan oleh orang awam.

“Anggota juga telah bertindak mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dengan menggunakan alat keselamatan dan kesemua mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan yang hadir dan dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut,”katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, operasi tamat sekitar 1.39 tengahari dan mendapat bantuan daripada BBP Seri Iskandar.