KUALA KANGSAR: Empat beranak masih berpeluang menyambut Tahun Baru Cina tidak lama lagi walaupun kereta yang mereka naiki terbabit dalam satu kemalangan ngeri di Jalan Ipoh-Gerik berhampiran Kg Tiong, di sini pada petang Rabu.

Dalam kejadian sekitar 2 petang itu, sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dipandu oleh Liang Bee Yee, 36 yang menghala ke Kuala Kangsar hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang besi jalan.

Ekoran kemalangan itu besi penghadang jalan menembusi cermin hadapan sehingga ke bahagian belakang kenderaan mereka.

Bagaimana, kesemua empat beranak itu dilaporkan selamat setakat ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Bee Yee mengantuk dan hilang kawalan.

Berikutan insiden itu, Bee Yee mengalami kecederaan parah di kepala manakala suami dan dua anaknya,
Ha Meng Kai, 4, dan Ha Zi Qian, 9, hanya mengalami kecederaan ringan.

“Ketiga-tiga beranak yang cedera ringan mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Kuala Kangsar manakala pemandu dikejarkan ke Hospital Ipoh,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Termizi berkata, kes akan disiasat secara lanjut.