IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak menafikan dakwaan kononnya seramai 56,323 orang pengundi hantu telah didaftarkan di negeri ini menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, dakwaan itu yang dibuat oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming merupakan strategi politik jahat parti tersebut dengan niat mengelirukan rakyat negeri ini.

“Ini merupakan siri pembohongan pihak pembangkang yang dimulakan lebih awal; setiap kali menjelang PRU cerita fitnah begini yang akan mereka mainkan.

“Ini juga sememangnya perwatakan Kor Ming yang gemar bermain dengan angka yang direka sendiri. Kemudian dia sendiri mempercayai angka tersebut dan dilemparkannya kepada rakyat untuk mengelirukan mereka,” katanya beliau dalam satu sidang media khas di sini pada Ahad.

Saarani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, turut mempersoalkan kefahaman Kor Ming mengenai terma pengundi hantu yang digunakannya untuk menfitnah BN melalui akaun Twitternya, baru-baru ini.

“Saya rasa dia tak faham maksud sebenar pengundi hantu ini, dia mungkin keliru dengan pengundi yang berpindah alamat dengan pengundi yang memang betul-betul tidak wujud.

“Kalau dia panggil pengundi yang berpindah tempat mengundi itu adalah pengundi hantu, jadi kami nak tanya beliau, adakah perpindahan 4,261 pengundi kaum Cina ke beberapa parlimen (kawasan DAP) di Johor juga adalah pengundi hantu?

“Pada PRU-13 lalu, kita mengesan hampir 3,000 pengundi kaum Cina dari parlimen Ipoh Barat, Ipoh Timor dan Batu Gajah berpindah ke parlimen Gopeng. Adakah ini dipanggil pengundi hantu? Itu pengundi hantu lompat kah?” soal beliau.

Kata Saarani lagi, secara faktanya peningkatan pengundi di negeri ini adalah disebabkan gerak kerja yang dibuat oleh semua parti politik termasuk pembangkang dan mereka bukan pengundi hantu.

“Dia lupa ke, DAP setiap kali pasar malam mereka akan buka meja pendaftaran pengundi? Siap pergi ke rumah orang ketuk pintu untuk daftar mengundi. Dia ingat DAP sahaja kah yang berbuat demikian?

“Semua parti pun buat benda yang sama. Kita semua berusaha untuk meningkatkan jumlah pengundi sehinggakan jika dulunya pengundi Melayu di Perak kurang 50 peratus yang berdaftar kini jumlahnya telah melebihi 50 peratus, itu yang dia (Kor Ming) takut sangat,” ujar beliau.

Justeru kata beliau, dakwaan yang dibuat oleh Kor Ming itu lebih kepada strategi untuk menyelamatkan imej parti DAP sekiranya pembangkang kalah pada PRU akan datang.

“Jika betul dakwaan itu, mengapa beliau tidak melakukan bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih awal? Sedangkan SPR memberi tempoh bantahan selama dua minggu untuk berbuat demikian sebelum diwartakan nama-nama pengundi ini.

“Boleh disimpulkan di sini, ini hanya lakonan semata-mata kerana mereka tahu jika mereka kalah pada PRU-14 nanti, inilah yang akan digunakan sebagai alasan untuk menipu rakyat sekali lagi,” tegas beliau.