IPOH: Umat Islam di seluruh dunia perlu bersama-sama memainkan peranan membetulkan anggapan tidak benar yang digambarkan terhadap Islam.

Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, ini susulan tindakan segelintir golongan pelampau Islam yang mencetuskan amalan bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

“Sebagai pemimpin, pemikir dan ilmuan, kita mempunyai tanggungjawab besar untuk membetulkan keadaan ini bagi memastikan Islam sebagai “Rahmatan LIL’Alamin”, agama dalam era dunia baharu,” katanya pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) di Hotel Casuarina@Meru di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan negeri, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan ucaptama pada persidangan itu yang disertai ramai pemikir dari seluruh dunia.

Dalam pada itu, YAB Ahmad Faizal berkata, persoalan sebenar yang dibangkitkan ketika ini ialah sama ada umat Islam mempunyai pengaruh dalam mentransformasi masyarakat.

“Tetapi pengaruh apa yang kita ada? Kita berada di persidangan ini berbincang untuk meneroka jenis pengaruh yang ada serta penyelesaian untuk disumbangkan oleh masyarakat dan negara demi masa depan dunia yang lebih baik,” ujarnya.

Menurut beliau, Islam telah menyebarkan keamanan di seluruh dunia, yang mempengaruhi pembentukan budaya, pendidikan, ekonomi, politik dan pentadbiran melangkaui wilayah negara Timur Tengah.

“Malaysia salah sebuah negara contoh, bagaimana majoriti umat Islam yang berjaya mengubah dari sebuah negara miskin kepada negara berpendapatan sederhana, selain mengiktiraf hak golongan bukan Islam mengikut “Rahmatan Lil’Alamin,” tambahnya.

Persidangan tiga hari anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) itu menampilkan beberapa tokoh ternama antaranya Pengarah Bibliotheca Alexandrina dan Penasihat Perpustakaan Shaikh Al-Azhar Mesir, Prof Dr. Ismail Serageldin; Pengarah Institut Wahid Indonesia, Ibu Yenny Wahid serta Profesor Agama dan Hubungan Antarabangsa dan Pengajian Islam Georgetown University, Prof Dr. John Louis Esposito.

1/3