SERI ISKANDAR-Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak,Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan tidak ada mana-mana bahagian dalam parti itu akan dibubarkan di negeri ini.

Sebaliknya, ia melibatkan jawatankuasa di bahagian-bahagian yang didapati tidak berfungsi dan bermasalah.

Ahmad faizal berkata, 13 daripada 24 jawatankuasa yang dibubarkan itu dibuat berdasarkan keputusan pimpinan pusat bagi memperkemaskan jentera parti, sebelum lantikan baru dijalankan.

“Bukannya nak bubar, saya menghadiri Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia dan dalam mesyuarat tersebut telah kita putuskan bahawa terdapat sebilangan besar bahagian bahagian Bersatu di Perak ini yang barisan jawatankuasanya keluar daripada parti.

“Yang tak aktif, tak tahu di mana dan sebagainya.. maka kepimpinan pusat… bukan kepimpinan negeri,membuat keputusan untuk membubarkan jawatankuasa jawatankuasa tersebut.

“Kalau bubar bahagian kita perlu melalui ROS dan sebagainya ini adalah satu dari segi pentadbiran Bersatu untuk mengukuhkan jentera parti Bersatu di Perak,”katanya kepada pemberita di Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Program Perumahan Rakyat Seri Iskandar pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ura-ura di laman facebook yang mendakwa tiga bahagian Bersatu Perak telah menerima surat untuk dibubarkan.