IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak dan Pakatan Harapan (PH) Perak menjunjung dan mempertahankan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung larangan penyalahgunaan masjid dan surau untuk sebarang ceramah dan aktiviti berbentuk politik kepartian.

Mereka turut menjunjung ketegasan baginda berhubung tiga program di masjid di negeri ini yang dianjurkan atas nama parti politik dan penyampaian ceramah agama oleh penceramah yang tidak bertauliah.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ttah berkenaan adalah bertepatan dengan pendirian pihaknya yang menolak sebarang perbuatan menyalahgunakan rumah-rumah ibadah, khususnya masjid dan surau untuk menganjurkan program berunsur politik kepartian.

“Ini juga selari dengan pendirian Bersatu dan Pakatan Harapan Negeri Perak yang konsisten dalam menolak politik kepartian sempit serta menggunakan sensitiviti agama dan kaum untuk meraih sokongan.

“Bersatu dan Pakatan Harapan sama sekali tidak bersetuju dengan politik perpecahan yang dibawa oleh parti-parti tententu apatah lagi jika ia berisiko menjejaskan keharmonian masyarakat negara ini yang berbilang kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Justeru, kata Ahmad Faizal, mereka menyokong penuh titah Sultan Nazrin bahawa sebarang perbuatan menyalahgunakan masjid dan surau sebagai pentas politik kepartian perlu disiasat bagi mengekangnya daripada berulang.

“Ini adalah penting bagi memelihara kemaslahatan ummah di negeri Perak, apatah lagi dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini serta bulan Syawal yang bakal menjelang,” ujarnya.