IPOH– Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan mengambil sebarang tindakan berhubung dakwaan cubaan menggulingkan Menteri Besar, tetapi mengalu-alukan sekiranya pihak berkuasa mahu menjalankan siasatan ke atas perkara berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga pengerusi Bersatu negeri Perak berkata, parti itu tidak berhasrat memulakan sebarang tindakan ke atas mana-mana Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri atau ahli Pakatan Harapan Perak.

“PPBM tidak akan ambil tindakan setakat ini sebab tidak nampak kesalahan dalam kalangan ahli EXCO atau ahli Pakatan Harapan.

“Tetapi jika pihak polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) mahu jalankan siasatan atas salah laku atau usaha nak gulingkan MB kita alu-alukan dan serah kepada mereka apa juga tindakan selepas itu,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis berkhatan di Taman Meru, di sini pada Jumaat.

Ahmad Faizal yang juga ahli Parlimen Tambun berkata demikian apabila mengulas tindakan SPRM memanggil Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad serta lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu untuk memberi keterangan di pejabat SPRM Perak semalam berhubung siasatan terhadap dakwaan wujud gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar

Lima ADUN berkenaan ialah ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya, Datuk Sham Mat Sahat (Alor Pongsu), Khairul Shahril Mohamed (Bota), Maslin Sham Razman (Bukit Chandan) dan Dr Jurij Jalaluddin (Lubuk Merbau).

Sebelum ini, SPRM telah memanggil Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari untuk memberi keterangan dakwaan gerakan menjatuhkan Menteri Besar Perak melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berakhir pada Rabu.

Difahamkan SPRM telah mengambil masa dua jam untuk merakam kenyataan ADUN Tebing Tinggi itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata beliau sendiri tidak mendapat makluman mengenai tindakan SPRM telah memanggil beberapa ADUN di negeri itu untuk membantu siasatan terhadap dakwaan cubaan menggulingkannya sebagai Menteri Besar.

“Saya sebenarnya tak dapat makluman yang SPRM telah mengambil tindakan memanggil beberapa ADUN untuk membantu siasatan terhadap dakwaan kononnya ada usaha untuk menggulingkan Menteri Besar.

“Tapi jika ada siasatan telah dimulakan, saya alu alukan dan saya sendiri bersedia untuk beri keterangan jika perlu,”katanya.