BEHRANG: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mengingatkan rakyat terutama, graduan supaya bijak mendepani perubahan dan cabaran baharu revolusi industri keempat yang bakal mencetuskan elemen ‘transhumanism’ atau rentas kemanusiaan.

Baginda bertitah, era revolusi industri keempat membawa kepada transformasi atau perubahan kepada cara kerja dan budaya kehidupan harian, membabitkan tiga domain utama iaitu fizikal, digital dan biologikal, merangkumi pelbagai perkara termasuk aspek penggunaan robot automasi.

“Manusia harus melihat kebarangkalian wujud ekosistem baharu yang bakal mengubah bukan hanya cara hidup dan cara kerja serta masyarakat dan norma, malahan persepsi tentang ‘manusia’ itu sendiri.

“Elemen transhumanism akan mula melakar kehidupan yang tentu sekali bakal mencabar konsep kesemulajadian apabila alam manusia bakal dirangkumkan bersama dunia robot, susulan kewujudan elemen ‘artificial intelligence’ (kepintaran buatan) dan bioteknologi.

“Oleh itu, amat penting untuk dipastikan, manusia terus berperanan sebagai tenaga kerja utama tanpa didominasi oleh robot, bahkan menjadi pereka cipta sistem robot dengan tujuan untuk memudahkan kerja tanpa sama sekali mengorbankan nilai dan roh kemanusiaan.

“Segala ilmu dan kemahiran yang diperoleh mestilah digunakan sebaik-baiknya, dipastikan tidak bercanggah dengan konsep Ketuhanan.

“Manusia wajib diperkukuhkan dengan nilai ketuhanan dan roh kemanusiaan agar tidak tergelincir daripada pegangan akidah, ketauhidan Tuhan dan mengamalkan jiwa hamba kepada Yang Maha Pencipta.

“Insan wajib memiliki pegangan akidah yang kukuh serta disemaikan dengan keimanan yang teguh supaya pada setiap kejayaan menghasilkan inovasi dan ciptaan baharu, akan meningkat apresiasinya terhadap kewujudan Ilahi,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 Politeknik Sultan Azlan Shah di Dewan Muallim politeknik berkenaan di sini sebentar tadi.

Seramai 318 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada sidang pertama istiadat konvokesyen itu, iaitu 25 menerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Rekabentuk Automotif) dengan kepujian dan 293 menerima diploma pelbagai program.

Sultan Nazrin juga bertitah, pendidikan termasuk pendidikan teknik dan latihan vokasional (TVET) telah memberi sumbangan besar kepada negara termasuk melatih dan menyediakan modal insan berkemahiran dan separa mahir kepada negara.

Malah titah baginda, pendidikan bagaikan komoditi yang dijadikan mudah untuk diperoleh oleh setiap keluarga hingga mengubah struktur sosial dan struktur ekonomi masyarakat, termasuk mengatasi masalah kemiskinan, memperbesarkan peratus masyarakat menengah dan menengah, memperkayakan modal budaya dan modal sosial serta meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Dalam menghadapi keperluan dunia semasa dan cabaran dunia akan datang, program pendidikan bukan sahaja perlu diperluas dan diperkembangkan, tetapi wajib dipertingkatkan.

“Agenda dan program pendidikan, jika disisih dan jika tidak diberikan keutamaan, berpotensi meletakkan negara dan warga tercicir dan tertinggal dalam arus kemajuan teknologi yang sedang berlaku pada kadar yang tersangat pantas.

“Menjelang tahun 2020, penduduk dunia diramalkan mencecah 7.6 bilion, dan dalam tempoh masa yang sama, 50 bilion peranti elektronik diramalkan memasuki pasaran teknologi, bermakna jumlah peranti yang berkomunikasi adalah melebihi jumlah manusia, dengan nisbah purata setiap manusia memiliki 6.6 peranti elektronik, yang akan membuka laluan interaksi di antara satu sama lain; senario yang bakal menjana data raya dan pengetahuan,” titah baginda.