KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) mencadangkan supaya para menteri memohon cuti tahunan sekiranya ingin menyertai kempen pilihan raya kecil (PRK).
Menurut pandangan Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, had yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada menteri agar tidak berkempen semasa waktu bekerja adalah munasabah bagi mengelakkan salah guna sumber kerajaan.

Gabungan itu bertegas mahu Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berdiri teguh mempertahankan had tersebut bagi mengelakkan tanggapan bahawa suruhanjaya dikawal oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dilihat tidak berpuas hati dengan peraturan berkenaan.

Sehubungan itu, Bersih 2.0 mencadangkan lima penyelesaian bagi menangani kebimbangan Perdana Menteri kononnya pengehadan tersebut memberi kekurangan kepada kerajaan yang memerintah.

“Pertama, menteri atau penjawat awam yang juga pemimpin parti politik harus memohon cuti tanpa gaji atau cuti tahunan ketika waktu bekerja sekiranya mereka ingin menyertai kempen ketika PRK.

“Kedua, selain kenderaan rasmi, pemandu dan anggota keselamatan yang ditugaskan kepada menteri atau pegawai kerajaan, aset dan pegawai kerajaan tidak boleh ditugaskan untuk mengiringi mereka semasa tempoh berkempen,” menurut gabungan itu dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, disebabkan faktor keselamatan, Bersih 2.0 mencadangkan penggunaan aset-aset pengangkutan ketika perjalanan semasa tempoh berkempen, boleh diberikan pengecualian kepada Perdana Menteri, namun parti atau gabungan politik Perdana Menteri dicadangkan membayar semula nilai tambang kelas pertama beliau dan rombongan kepada perbendaharaan negara.

“Ini adalah sama seperti apa yang Presiden Amerika Syarikat (AS) dan rombongan perlu lakukan sekiranya mereka menggunakan Air Force One untuk aktiviti parti. Kami memuji contoh positif yang dilakukan Perdana Menteri apabila beliau menyewa helikopter ketika PRK Parlimen Cameron Highlands,” jelas Bersih 2.0.

Bagi mengelakkan parti politik menghabiskan dana mereka untuk perbelanjaan tersebut, Bersih 2.0 mencadangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus mempercepatkan pelaksanaan pendanaan parti politik oleh dana awam berdasarkan undi yang diterima dalam pilihan raya yang lalu.

Cadangan kelima gabungan itu ialah SPR perlu menjalankan kuasa mereka di bawah Perkara 113 (5) Perlembagaan Persekutuan untuk berusaha menghasilkan Kod Etika Tatalaku yang komprehensif meliputi fungsi kerajaan semasa PRK dan kerajaan sementara semasa pilihan raya umum.

Jelas Bersih 2.0, pengehadan aktiviti politik ataupun aktiviti lain penjawat awam di luar skop tugasan rasmi mereka adalah selari dengan resolusi 51/59 Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertajuk Tindakan Menentang Rasuah.

Semalam, Dr. Mahathir melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan peraturan SPR yang melarang anggota Kabinet menjalankan aktiviti berkempen dalam waktu bekerja pada pilihan raya kerana menganggap sekatan itu seolah-olah memberi peluang kepada parti lawan yang tidak ada kerja untuk berkempen selama 24 jam – MalaysiaGazzete