IPOH : Mana-mana pihak yang memohon bantuan dana dari individu,syarikat atau badan korporat,sewajarnya bersikap telus dengan menampilkan bukti bahawa penyaluran dana itu sampai kepada golongan yang memerlukan.

Shahrul Ridzuan Gurmukh Abdullah

Menurut Timbalan Pengerusi Unit Sukarelawan Bersatu Perak, Shahrul Ridzuan Gurmukh Abdullah, terdapat beberapa kekangan yang menyebabkan ada syarikat atau badan korporat kurang berminat untuk menaja sumbangan sebelum ini.

“Sebenarnya banyak lagi yang nak bantu orang yang memerlukan, kemungkinan syarikat-syarikat ini risau bila kita minta dana, tetapi kita salurkan ke tempat lain dan salah guna dana ini.

“Kebiasaannya bila pihak kami ambil dana, kita akan hantar laporan balik kepada syarikat itu dan semua bil yang kita guna melalui duit itu, ia bagi memuaskan hati mereka dan seterusnya lebih aktif membantu di masa hadapan,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Kembali Ke Sekolah anjuran Cawangan Bersatu Jelapang di sini pada Ahad.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Bersatu Batu Gajah, Mahader Ahmad Mohammad Ayob.

Tambahnya, pendekatan untuk memohon dana juga penting bagi mewujudkan rasa percaya antara dua pihak, di samping menerangkan matlamat untuk membantu golongan sasaran.

Sementara itu, Mahader berkata, seramai 100 orang penerima mendapat kelengkapan persekolahan yang akan bermula pada Januari depan.

Ujarnya, mereka yang menerima bantuan itu merupakan golongan B40 dan pihaknya menyasarkan program ini diperluaskan di kawasan lain di Perak.

“Kebanyakan penduduk di sini merupakan golongan B40, untuk Bahagian Batu Gajah, ini adalah program yang kedua… semalam kita buat di pekan Batu Gajah dan hari ini di Silibin dan juga di dalam Parlimen Batu Gajah,”katanya.