MANJUNG – Pengerusi Barisan Nasional (Perak) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan pencalonannya bertanding dua kawasan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 bukanlah satu keistimewaan sebaliknya merupakan amanah yang perlu digalas.

Menurutnya dia merasakan ianya bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan apabila diamanahkan pucuk pimpinan mempertahankan kerusi DUN Pangkor dan bertanding di kerusi Parlimen Lumut.

“Saya menganggap tanggungjawab ini bukanlah satu keistimewaan untuk saya rasa bangga, hebat atau datang untuk mengalahkan orang itu dan ini.

“Saya datang untuk melaksanakan khidmat saya di kawasan ini tidak sebagai seorang yang angkuh atau penuh kesombongan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Penyerahan Strata Title di Taman Bukit Permata, di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan lain beliau enggan mengulas lanjut keputusan Tan Sri Kayveas yang mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) dan Penasihat Kerajaan Negeri Perak.

“Saya menganggap urusan itu adalah berkaitan dengan urusan kepimpinan di peringkat MyPPP.

“Adalah tidak wajar saya mencampuri urusan mereka, lebih baik kita serahkan pada pucuk pimpinan mereka untuk selesaikan dan uruskan krisis kepimpinan yang ada saat ini.

“Saya yakin mereka dapat selesaikan, tanpa berniat untuk mencampuri urusan dalam parti. mereka,”ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, MyPPP akan mempertimbangkan semula keahliannya sebagai parti komponen BN.

Tindakan itu susulan Kayveas gagal mendapatkan kerusi Parlimen Cameron Higlands yang didakwanya sudah mengggerakan jentera di kawasan itu sekian lama.