BERUAS: Kawasan Beruas berpotensi untuk dibangunkan sebagai satu lagi kawasan tarikan baru berasaskan pelancongan eko.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Beruas mempunyai beberapa tarikan dan keistimewaan seperti Air Terjun Ulu Licin dan sejarah Kerajaan Gangga Negara yang kemudiannya menjadi Kerajaan Beruas.

Menurut beliau, program Permukiman Menteri Besar di Daerah Manjung turut meninjau semula kedudukan masa depan bandar Beruas yang agak terpencil daripada arus pembangunan.

“Ini tidak bermakna tidak berlaku pembangunan, namun ia memerlukan tarikan seperti tempat dan aktiviti yang besar di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas pra pelancaran 100 Tahun Beruas di Padang Awam Pekan Beruas di sini pada Rabu.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Bharu, Datuk Abdul Manaf Hashim.

Dr Zambry berkata, untuk menjadikan Air Terjun Ulu Licin sebagai kawasan tarikan pelancong, bukan hanya menyediakan prasarana yang baik.

“Yang paling penting ialah mewujudkan beberapa aktiviti besar yang dapat menarik ramai pengunjung seperti semi marathon yang dipanggil Ulu Licin Challange ataupun sukan-sukan lasak,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha untuk menghidupkan semula sejarah kewujudan Kerajaan Gangga Negara yang kemudiannya menjadi Kerajaan Beruas,memerlukan sesuatu yang kreatif dan inovatif.

“Ia perlu bagi mewujudkan semula suasana itu bagi membolehkan pelancong datang untuk melihat semula dan merasai gambaran yang pernah wujud suatu ketika dahulu,” katanya.

Beliau memberi contoh, usaha yang boleh dilaksanakan ialah terus memelihara bangunan lama dan membesarkan muzium yang ada.

Dr Zambry memberitahu, pembangunan Beruas turut termasuk di dalam Rancangan Pembangunan Daerah Manjung yang dilaksanakan di bawah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara.