KAMPAR 14 Ogos – Sebuah tapak pembinaan kondominium 14 tingkat di Taman Bandar Baru Kampar di sini diarah tutup dan menghentikan operasi serta-merta kerana didapati menjadi tempat pembiakan serangga pembawa penyakit.

Notis penutupan selama 14 hari sehingga 28 Ogos ini dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Daerah Kampar setelah menemukan empat tempat pembiakan dalam operasi bersepadu yang diketuai Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Ketua Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan negeri, Ahmad Fakurazi Abu Bakar berkata, notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 8(3) (aa) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Katanya, menerusi notis berkenaan, pihak pemaju perlu melakukan kerja-kerja pembersihan di tapak pembinaan berkenaan dalam tempoh masa 14 hari.

“Kita telah menjalankan pemeriksaan di keseluruhan tapak pembinaan ini dan mendapati terdapat empat tempat pembiakan jentik-jentik dan salah satunya menunjukkan bacaan yang tinggi.

“Oleh itu, tapak pembinaan ini diarahkan menghentikan operasi dan hanya dibenarkan menjalankan kerja pembersihan sebelum pemeriksaan semula diadakan di premis berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menjalankan operasi di tapak pembinaan itu di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE