IPOH: Kerajaan negeri Perak menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan seorang ketua kampung ditangkap kerana menyorok pelbagai jenis mercun tanpa permit dan rokok seludup di sebuah kuarters kerajaan di Kampung Gajah, Ahad lalu.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, beliau akan menunggu hasil siasatan itu.

Menurutnya, jika sekiranya individu itu didakwa dan disabitkan di mahkamah, kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Sekiranya siasatan menunjukkan tidak ada berlaku pelanggaran kepada peruntukan undang-undang, maka tidak ada sebab untuk tukar ketua kampung berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan khas Aidilfitri anggota Majlis Bandaraya Ipoh 2019 di Stadium Indera Mulia di sini, pada Jumaat.

Pada Selasa, Astro AWANI melaporkan, polis menahan seorang ketua kampung dan merampas pelbagai jenis mercun tanpa permit dan rokok seludup yang disorokkan di sebuah kuarters kerajaan di Kampung Gajah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohd Zainal Abdullah berkata, rampasan berkenaan melibatkan 17 jenis mercun seperti mercun bola, thunder crackling clap, roket dan lebah, yang dilarang dimiliki, dijual dan digunakan.

Asmuni berkata, kerajaan telah membuat pelbagai tapisan seperti dengan Jabatan Insolvensi dan polis, sebelum melantik mana-mana individu sebagai ketua kampung.

“Tetapi yang berlaku ni baru, yang rekod-rekod lama kalau ada di antara mereka tu yang kita dapati mempunyai sabitan mahkamah, kita tukar.

“Tetapi kalau setakat mereka disiasat oleh polis, ataupun direman, kita tidak ambil tindakan sebab tiada ada sabitan,” ujarnya.