IPOH – Harapan juga azamnya untuk melihat anakanak muda mengenal dan bermain wau cukup tinggi, setinggi wau yang melayang-layang mengikut rentak angin di awan biru.

Bagi si pembuat wau yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Yusuf, jika boleh, cukup sekadar bermodalkan motosikal dan bahan asas seperti buluh dan kertas untuk dia menjelajah ke seluruh Malaysia bagi menghidupkan kembali permainan wau kepada semua.

“Saya sudah pasang angan-angan sejak dahulu lagi, kalau ada modal yang cukup untuk saya beli sebuah motosikal lengkap dengan peralatan untuk buat wau atau layang-layang.

“Setiap persinggahan dengan motor itu, saya akan panggil anak-anak muda dan tunjuk cara hasilkan wau di depan mata mereka seperti wau Jala Budi, Bulan dan Kucing supaya mereka diperkenalkan kembali dengan permainan tradisional ini.

“Selepas itu saya sendiri akan tunjuk macamana nak mainkan wau, cara pegang tali dan pincang,” kata Yusuf semasa ditemui di Festival Wau dan Layang-Layang Negeri Perak di Padang Sekolah SMK Kg Dato’ Ahmad Said, Manjoi.

 

Festival ini menghimpunkan sebilangan anak muda dari sekitar Manjoi serta pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) untuk bersama mempelajari dan bertanding dalam acara yang dipertandingkan. Hadir sama ADUN Manjoi, YB Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin bagi menyempurnakan perasmian majlis.

 

Walaupun begitu, semua itu hanyalah sebahagian daripada lakaran impiannya, memandangkan terdapat beberapa kekangan yang perlu dihadapi bagi merealisasikan hasrat murni itu.

“Kalau kita tengok ramai yang sudah kurang tahu mengenai wau, apatah lagi cara bermain, kebanyakan mereka lebih gemar habiskan masa dengan gajet di tangan. Tambahan pula budak-budak sekarang ini, lebih ketagih bermain dengan aplikasi seperti Pokemon Go dan bermacam lagi.

 

“Lagipun untuk hasilkan wau berkualiti memerlukan kos yang tinggi dan saya harap ada pihak tampil untuk sama-sama bantu menghidupkan dan warnakan kembali permainan warisan ini,”ujarnya.

Menurut Yusuf, terdapat beberapa jenis wau yang popular di negeri Perak dan salah satunya adalah wau Seri Bulan. Ia sering dipertandingkan di peringkat kebangsaan dan dinilai menerusi beberapa sudut.

 

“Buat wau nampak macam senang tapi ada cabarannya juga, kena pandai melukis, menebuk dan meraut, tambahan pula bila hendak buat tobek (lubang-lubang yang dihasilkan pada kertas wau),” ujarnya.

Beliau memberitahu, buluh yang digunakan pula adalah dari jenis buluh duri kerana ia lebih kuat, tidak mudah patah dan tidak dimakan bubuk.

Bagaimanapun, kata Yusuf, disebabkan kesukaran untuk mendapatkan buluh duri di Perak, ia lazimnya diambil dari negeri Kelantan.

image