KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes salah guna kedudukan, pecah amanah dan pengubahan wang haram Datuk Seri Najib Razak, memohon perbicaraan dijalankan di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah, pihaknya akan menulis surat kepada Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim bagi memaklumkan hasrat pendakwaan berhubung perkara itu.

Sulaiman berkata, antara pertimbangan bagi cadangan itu ialah membabitkan alasan keselamatan kerana bangunan mahkamah di Putrajaya mempunyai akses yang terhad kepada orang awam.

Sehubungan itu, ia memudahkan pihak mahkamah untuk mengatur perjalanan proses perbicaraan kes berkenaan.

Sulaiman berkata, selain itu kebanyakan saksi yang akan dipanggil memberi keterangan tinggal di Putrajaya.

“Ini hanya untuk memberi maklum kepada mahkamah,” katanya pada prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Sementara itu, peguam Najib tidak membantah permohonan Sulaiman – berita harian