IPOH: Walaupun aktiviti industri seni dilihat agak sepi di negeri Perak namun ini tidak menjadikan sektor ini dipandang sebelah mata oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ini terbukti dengan penganjuran sesi bicara seni malam tadi yang merupakan salah satu daripada program tersenarai bersempena Permukiman Menteri Besar Daerah Kinta yang berlangsung sejak Selasa.

48fccc8b-e39c-4d05-8f3e-463abb9738e7

Dengan tajuk ‘Memartabatkan Seni Sebagai Satu Industri’, sesi bual bicara di Auditorium RTM berkonsepnkan santai memperlihatkan Menteri Besar membincang krisis yang melanda industri seni negara serta berkongsi pandangannya mengenai pembangunan sektor ini daripada perspektif Kerajaan Negeri.

Turut dibincangkan cabaran-cabaran yang menghadkan pergerakan serta pembangunan industri seni di negeri Perak.

“Kerajaan negeri sentiasa meletakkan aktiviti seni dan budaya sebagai suatu elemen penting dalam perancangan membangunan negeri Perak kerana kita sedar kemajuan sesebuah negara itu diukur apabila masyarakatnya berjaya memartabatkan seni.

“Sebagai Menteri Besar dan seorang pencinta seni harapan saya adalah untuk menjadikan aktiviti seni sebagai salah satu sektor yang berjaya di negeri Perak,” katanya.

Turut hadir mengambil bahagian dalam bicara seni malam tadi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Topik yang mendapat perhatian pada malam itu adalah keberkesanan industri seni dalam menjadi salah satu sumber pendapatan yang stabil kepada negeri dan halangan serta rintangan untuk menjadi seorang anak seni yang berjaya.

Ulasan serta pengalaman yang dikongsi artis serba boleh negara, Datuk Norman Halim yang telah bertahan di Malaysia dengan mempunyai syarikat produksi di sebalik jatuh bangunnya seni menjadi inspirasi kepada hadirin pada malam itu.

Menariknya, program bual bicara yang dihadiri sekitar 300 kalangan mereka yang mempunyai latar belakang seni.

Di akhir program Dr Zambry juga melancarkan buku  ‘Tarian Dabus, Rebana dan Busana Puteri Perak : Warisan Penanda Kepahlawanan Anak Negeri’  yang merupakan hasil terbitan bersama Kerajaan Negeri Perak, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) malah dari pihak Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).