KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, sampel tulang, darah dan air kencing milik mangsa kebakaran tragis Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di terima pada hari yang sama kejadian itu berlaku.

Ketua Unit Siasatan Anti Pemerdagangan Orang/Penyeludupan Migran (D7C) Bukit Aman, Deputi Superintendan Khairil Idzwan Ahmad, 42, berkata selain itu, pihaknya turut menerima cebisan baju mangsa pada hari yang sama.

Menurut Khairil Idzwan yang ketika kejadian bertugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Wangsa Maju, sampel itu diambil oleh beberapa pegawai perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Selepas dianalisis, sampel itu kemudiannya diserahkan kepada saya untuk tindakan lanjut, juga pada hari yang sama,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz dalam perbicaraan kes dua remaja lelaki yang didakwa membunuh 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz berkenaan.

Kedua-dua remaja itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September tahun lalu.

Kedua-duanya yang kini berusia 17 tahun dan diwakili peguam Haijan Omar, masing-masing didakwa atas 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Walau bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-36 itu memberitahu mahkamah, beliau menerima maklumat berhubung kebakaran tragis berkenaan pada jam 6.30 pagi, 14 September 2017.

Khairil Idzwan berkata, beliau kemudian bergegas ke tempat kejadian pada jam 7.15 pagi sebelum mengarahkan anggotanya mengiringi mayat mangsa ke Jabatan Forensik HKL.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok – berita harian