Jempol: Penduduk di FELDA Pasoh 2 di sini, terpaksa mengumpil pintu rumah wanita warga emas selepas mendapati wanita itu meninggal dunia, malam tadi.

Sabariah Abd Ghani, 67, disedari tidak keluar rumah menyebabkan mereka pergi memeriksa dan melihat mangsa terlantar di dalam biliknya manakala anak perempuan berusia 40 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) berada di ruang tamu.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jempol Mohd Fahmi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.03 malam oleh penduduk yang memaklumkan dua beranak terbabit terkunci di dalam rumah.

“Sebuah jentera bersama tiga anggota ke lokasi dan sebaik tiba, pintu rumah berkenaan sudah berjaya dibuka penduduk.

“Anggota masuk ke dalam rumah dan menemui mangsa di dalam bilik. Pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Menurutnya, mangsa tinggal di rumah itu bersama anak perempuan berusia 40 tahun yang juga OKU.

Beliau berkata, anak mangsa tidak tahu membuka pintu.

Katanya, kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Punca kematian masih belum diketahui.

-myMetro